Pelancaran OACP LPPS
Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2024-2028, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah 2024
Kota Kinabalu, 1 Mac 2024 – Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) telah melancarkan Buku Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2024-2028, sebagai langkah strategik dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus organisasi.
Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Negeri Sabah.
Turut hadir dalam majlis ini adalah YB Datuk Limus Jury, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah I, YBhg. Datuk Ridhwan Roger Linus, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, PKPj Alexander S. Kunghi, Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah dan Puan Samsakiah Jamil, Ketua Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, yang menunjukkan sokongan penuh terhadap usaha LPPS dalam memperkukuh tadbir urus yang baik dalam sektor awam.
Pelan OACP 2024-2028 LPPS ini berfungsi sebagai rangka kerja strategik dalam membanteras rasuah serta membentuk budaya kerja berintegriti dalam setiap aspek operasi dan pentadbiran LPPS. Melalui pelaksanaan pelan ini, LPPS berusaha untuk mewujudkan persekitaran kerja yang profesional dan bertanggungjawab, selaras dengan matlamat membina pentadbiran yang bersih dan telus.
Dengan pelancaran ini, LPPS sekali lagi menegaskan komitmennya untuk menjadi sebuah organisasi bebas rasuah, demi memastikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dalam operasi pelabuhan serta memberi manfaat yang terbaik kepada stakeholders di Sabah, selaras dengan slogan OACP LPPS, “LPPS Bersih Rasuah dan Berintegriti”.


