SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN HARI SABAH 2025
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah bersama isteri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin, diiringi oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, serta isteri Yang Amat Berbahagia Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag telah menyempurnakan Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 yang telah berlangsung di Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu pada hari ini, 31 Ogos 2025.
Turut hadir mewakili Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) ialah Yang Berbahagia Datuk Mohd Jasmin bin Julpin, Pengerusi dan Yang Berusaha Puan Dollyn Aloysius, Pengurus Besar. Sambutan tahun ini mengangkat tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” dan “Untukmu Sabah Tanah Airku”, yang mencerminkan semangat keprihatinan, kecintaan serta kesetiaan rakyat Sabah dalam memacu kemajuan negeri.
Perbarisan tahun ini disertai oleh 169 kontinjen terdiri daripada Kementerian /Jabatan/Agensi Kerajaan, pasukan beruniform, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan serta sektor swasta. Dalam pada itu, LPPS telah mencatatkan kejayaan yang sangat membanggakan apabila dinobatkan sebagai Johan Perbarisan bagi Kategori Swasta/Badan Berkanun. Kejayaan ini menyerlahkan disiplin, komitmen serta kesepaduan warga LPPS dalam mendukung aspirasi negeri, seiring dengan cogankata LPPS, “Better Ports, Better Sabah”.


