Skip to main content

Majlis Perasmian Kren Baharu Pelabuhan Tawau telah berlangsung dengan jayanya pada 2 Ogos 2026 di Jeti Utama Pelabuhan Tawau dan telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah. 

Majlis didahului dengan Taklimat Tertutup kepada YAB Ketua Menteri Sabah berkenaan Pelabuhan Tawau, pemasangan Kren Baharu Pelabuhan Tawau serta manfaat pengoperasian kren baharu dalam meningkatkan kecekapan operasi, kapasiti pengendalian kargo dan penyampaian perkhidmatan pelabuhan.

Turut hadir ialah Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick, Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan; Yang Berhormat Datuk Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan dan Ekonomi Kreatif merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.68 Apas, Yang Berhormat Datuk Zainudin bin Aman, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Yang Berhormat Datuk Lo Su Fui, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Ahli Parlimen P.190 Tawau, Yang Berhormat Pembantu-Pembantu Menteri, Yang Berhormat Datuk Donald Peter Mojuntin, Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Berbahagia Datuk Seri Panglima Abdul Rahman bin Dahlan, Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad dan Sabah Ports Sdn Bhd, Yang Berusaha Puan Dollyn Aloysius, Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Yang Berbahagia Datuk Ahmad Rizal Dahli, Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Holdings Berhad dan Sabah Ports Sdn Bhd, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Suria Capital Holdings Berhad dan Sabah Ports Sdn Bhd, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, serta pihak-pihak berkepentingan dalam industri pelabuhan.

Pemerolehan dua (2) kren baharu di Pelabuhan Tawau merupakan antara inisiatif strategik Kerajaan Negeri, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) selaku pihak berkuasa pelabuhan dan Sabah Ports Sdn. Bhd. (SPSB) selaku pengendali pelabuhan dalam memperkukuh infrastruktur pelabuhan. Pengoperasian kedua-dua kren ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi, kapasiti pengendalian kargo dan penyampaian perkhidmatan pelabuhan, sekali gus memperkukuh daya saing Pelabuhan Tawau serta menyokong agenda pembangunan Negeri Sabah selaras dengan aspirasi Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.