Skip to main content

KOTA KINABALU: Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) mampu untuk terus menyumbang kepada usaha mengawal selia pembangunan pelabuhan di seluruh Sabah yang menjadi pemboleh ubah penting kepada pelaburan industri di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick yakin dan berharap pasukan Sabah First di LPPS terus diperkasakan.

Katanya, langkah itu bagi memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pemegang-pemegang taruh.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan rasmi ke LPPS sekali gus menerima taklimat menyeluruh mengenai prestasi semasa, peranan dan hala tuju pembangunan pelabuhan di seluruh Sabah.

Dalam kunjungan itu, Ewon turut berkongsi fokus kementeriannya selaras peluasan portfolio baharu yang meletakkan pengangkutan di bawah tanggungjawab kementerian. 

“Selain mendalami inisiatif-inisiatif sedia ada yang sedang dilaksanakan oleh LPPS, saya juga berkongsi wawasan dan hala tuju saya di Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.

“Saya amat yakin LPPS akan terus menyumbang kepada usaha-usaha mengawal selia pembangunan pelabuhan di seluruh Sabah yang menjadi pemboleh ubah penting kepada pelaburan industri di sini,” katanya selepas diberikan taklimat oleh Pengurus Besar LPPS Dollyn Aloysius, sempena kunjungan rasmi itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ewon turut menjelaskan mengenai isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar sedang ditangani dengan menaik taraf dan meningkatkan kapasiti di pelabuhan itu.

Menurutnya, usaha menaik taraf dan meningkatkan kapasiti di palabuhan Sepanggar sedang berjalan walaupun berlaku kelewatan, lanjutan masa (EOT) kali keempat telah diberikan. 

“Saya berharap projek itu dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Saya ada tanggungjawab untuk memantau pelaksanaan itu kerana sebarang kelewatan projek naik taraf di  pelabuhan Sepanggar merupakan kerugian kepada Sabah.

"Saya yakin LPPS dan kementerian dapat sama-sama mengambil tanggungjawab bersama untuk memastikan semua projek penaiktarafan pelabuhan-pelabuhan Sabah dapat dijayakan," katanya.

Beliau berkata, LPPS  juga bertanggungjawab terhadap jeti-jeti persendirian, termasuk yang dikendalikan oleh kilang-kilang besar.

Sehubungan itu, pihaknya meminta supaya penguatkuasaan atau pemantauan dapat dilaksanakan bagi memastikan Sabah dapat mempertahankan haknya terutama berkaitan pungutan hasil.

“Kita di kementerian akan terus bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain khususnya berkaitan laluan di antara Taman Perindustrian ke pelabuhan-pelabuhan dan begitu juga kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan berkaitan keperluan pembangunan perindustrian di Sabah.

"Setakat Januari hingga Oktober 2025, LPPS melalui pelabuhan seluruh Sabah (Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, Pelabuhan Tawau dan Pelabuhan Sandakan) telah mengendalikan sebanyak 445,054 tue (twenty-foot equivalent units) kontena," jelasnya. 

Turut serta dalam kunjungan itu, Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Jonnybone J. Kurum dan Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Thomas Logijin.

 

oleh Siti Aisyah Narudin @ Utusan Borneo Online