LPPS cadang jadikan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sebagai Hub Perkapalan Antarabangsa Timur

Printer-friendly versionPrinter-friendly version

KOTA KINABALU: Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) bercadang menjadikan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sebagai Hub Perkapalan Antarabangsa Timur menjelang tahun 2030, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata, Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar merupakan pelabuhan khusus untuk mengendali kontena dan mengendalikan hampir 70 peratus operasi kontena bagi seluruh Sabah.
“Sebab utama untuk menaiktaraf Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar kepada hub perkapalan antarabangsa adalah untuk mengimbangkan jumlah import dan eksport yang pada masa ini tidak seimbang iaitu 80 peratus import dan 20 peratus eksport.
“Ketidakseimbangan ini adalah penyebab utama kepada kos perkapalan untuk menghantar kargo/ kontena ke Sabah di mana pemilik kapal harus mengambil kira perjalanan kembali dalam menentukan kos penghantaran kontena ke Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjong Chan Foong Hin, pada seisi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di sini, kelmarin.
Pairin berkata, kos perkapalan yang tinggi penyebab utama kos sara hidup dan kos menjalankan perniagaan di Sabah.
Sehubungan itu katanya satu kajian berkaitan cadangan itu dengan kos sebanyak RM200,000 sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada bulan ini.
“Kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan SEDIA juga telah mempersetujui dan menyokong cadangan ini,” katanya.
Beliau berkata pihak LPPS bersama Sabah Ports Sdn.Bhd (SPSB) telah mengemukakan permohonan projek baru dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) berjumlah RM1.5 bilion kepada kerajaan persekutuan bagi kos pembiayaan projek itu.
“Dengan menjadikan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sebagai Hub Perkapalan Antarabangsa Timur, jumlah eksport kontena dari pelabuhan itu akan meningkat dan pada masa yang sama jumlah dagangan (eksport dan import) dapat diseimbangkan,” katanya.
Pairin berkata, di peringkat negeri, langkah-langkah awal yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak Pelabuhan Sabah ialah meningkatkan kapasiti pelabuhan, menambah kelengkapan mesin pengendali kargo kontena, membangunkan dan menaiktaraf sistem sokongan IT.
“Mendalamkan dasar laut kepada 15 meter bagi membolehkan kapal-kapal antarabangsa yang lebih besar berlabuh di pelabuhan itu.
“LPPS dengan kerjasama SPSB sedang menjalankan kajian untuk membangunkan Pelabuhan Sepangar sebagai Transhipment Hub Timur Malaysia, bekerjasama dengan Taman Perindustrian Kota Kinabalu membangunkan Zon Perdagangan Bebas bagi menarik lebih banyak pelabur asing membuka industri di Sabah.
“Bekerjasma dengan agensi kerajaan lain untuk mempertingkatkan rangkaian infrastruktur dan logistic bagi memudahkan pengguna pelabuhan mengangkut kontena mereka ke destinasi yang dikehendaki secara sistemitik, menaiktaraf kemudahan di setiap pelabuhan lain di Sabah, meningkatkan kecekapan pengendali dan menyelaras prosedur untuk mengurangkan birokrasi dan meningkatkan keberkesanan proses,” katanya. – OLEH MARRYAN RAZAN